Status Osman Sapian: DUN Johor belum dimaklumkan - Speaker

JOHOR BAHRU, 6 Sept  -- Status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum dimaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat.

Suhaizan berkata beliau belum menerima makluman mengenai perkara itu daripada Bersatu mahupun Osman sendiri.

 "Saya tahu mengenai perkara itu tetapi dewan belum dimaklumkan secara rasmi.

"Kita perlu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu dan kemudian dimaklumkan oleh Datuk Osman sendiri mengenai kedudukan beliau dalam dewan, paling lewat sehari sebelum persidangan DUN," katanya kepada Bernama.


Bernama melaporkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Osman, yang juga bekas Menteri Besar Johor, masih kekal sebagai ahli Bersatu.

Hamzah dipetik sebagai berkata buat masa ini, Osman hanya akan dipanggil untuk menjawab tuduhan berhubung dakwaan beliau telah membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini dan belum dikenakan sebarang tindakan.

Media sebelum ini mendakwa bahawa sewaktu PRK DUN Slim, Osman turun berkempen membantu calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili kem bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bekas Pengerusi Bersatu.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil Osman berhubung perkara itu.

Ketika ini, kerajaan Perikatan Nasional memiliki 29 kerusi (Umno - 14; Bersatu -12; MIC - 2; PAS - 1) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi (DAP - 14; Amanah - 9; PKR - 4).

Sementara itu, Suhaizan berkata sebanyak lima usul diterima setakat semalam bagi persidangan DUN Johor yang akan bermula pada 10 Sept dengan empat daripada blok kerajaan dan satu daripada blok pembangkang.

-- BERNAMA

Comments