PRN Sabah : Liew Yun Fah bakal kembali tanding DUN Merotai


TAWAU, 6 Sept  -- Bekas Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Tan Sri Liew Yun Fah mengesahkan akan kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.

Liew yang pernah menyandang kerusi itu selama sepenggal menerusi Pilihan Raya Umum 2004 berkata keputusannya untuk bertanding semula kerana mahu membawa pembangunan yang dilihat perlahan di DUN berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Katanya beliau berkata akan bertanding atas tiket parti tempatan yang akan dilancarkan minggu depan.

"Saya akan menerajui parti ini dengan ahlinya terdiri daripada anak Merotai dan Tawau. Parti ini memiliki beberapa calon yang boleh diketengahkan dan akan bertanding lebih daripada satu kerusi DUN sama ada di Tawau atau Kalabakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Untuk rekod, Liew pernah menyertai Parti Amanah Negara dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu pada Disember 2018.

Selepas Liew, kerusi DUN Merotai disandang Datuk Pang Yuk Ming daripada Parti Liberal Demokrat (LDP) selama dua penggal, dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerusi itu dimenangi Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan Sabah.

-- BERNAMA

Comments