AZMIN SOMBONG CUBA TUNJUK PANDAI?

PDRM teruskan operasi besar-besaran lumpuh sindiket edar dadah - Acryl Sani


KUALA LUMPUR, 5 Sept  -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan operasi besar-besaran untuk melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah dalam negeri dan antarabangsa berikutan kejayaan agensi itu merampas dadah dianggarkan bernilai RM65 juta dalam operasi di Perlis, Kelantan dan Perak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM tidak akan berhenti melaksanakan operasi seperti dijalankan selama tiga hari di tiga negeri terbabit yang berakhir semalam malah akan meningkatkannya bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah.

"Ini termasuklah mereka (pengedar dadah) yang menjadikan negara ini sebagai transit untuk (menjadi) bekalan dadah bagi pasaran luar negara," katanya kepada Bernama ketika mengulas kejayaan PDRM merampas dadah bernilai lebih RM65 juta seperti dilaporkan media semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din ketika dihubungi berkata pihaknya menahan sembilan lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 47 tahun di ketiga-tiga negeri berikutan rampasan dadah bernilai lebih RM65 juta itu.

Beliau berkata di Kelantan, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 972 kilogram (kg), ganja (1,293 kg) dan pil yaba (11,800 biji) bernilai RM42 juta dalam dua serbuan di Kota Bharu.

“Seramai lima lelaki berusia 26 tahun hingga 33 tahun yang kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta seorang wanita berusia 25 tahun telah ditahan dan polis turut merampas wang tunai RM180,000 serta sepucuk pistol jenis Glock bersama lapan butir peluru.

“Turut ditemui di kawasan hutan berhampiran Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan ialah sebanyak 22 plastik mengandungi syabu seberat 440 kg bernilai RM17 juta,” katanya sambil menambah bahawa kesemua lelaki berkenaan direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan.

Bagi serbuan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak, polis merampas dadah jenis ganja seberat 214 kg serta menahan sepasang kekasih berusia 32 tahun dan 47 tahun dan kedua-duanya direman sehingga Rabu depan.

Ramli berkata serbuan di sebuah rumah di Padang Besar, Perlis menyaksikan polis merampas syabu seberat 126 kg dan ganja seberat 100 kg serta menahan dua remaja berusia 16 tahun.

“Serbuan susulan di sebuah lagi kediaman di Padang Besar pula membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai ketua sindiket dan ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan.

 Beliau berkata berat keseluruhan rampasan adalah 3,145 kg dadah dan ia boleh dibekalkan kepada sejumlah 10.4 juta penagih.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes di Perak dan Perlis turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Dadah berkenaan berkemungkinan diseludup dari negara jiran iaitu negara Segi Tiga Emas atau dikenali sebagai Golden Triangle,” katanya.

Ramli berkata untuk rekod, PDRM secara purata menahan sejumlah 500 individu setiap hari kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di seluruh negara.

-- BERNAMA

Comments