Kes samun di Bachok: Suspek lepaskan tembakan sebelum larikan Myvi

BACHOK, 2 Sept -- Satu keluarga berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bertindak melepaskan satu das tembakan ke jalan raya dalam kejadian samun berkumpulan di hadapan sebuah kedai motosikal di Jalan Kampung Sungai, di sini, pagi tadi. Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi itu keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum dihampiri dan dihalang sebuah kereta jenis Myvi biru yang dinaiki dua lelaki warga tempatan. "Salah seorang suspek memakai ves polis dan berseluar pendek telah keluar dari kenderaan dan mengarahkan mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, abang ipar serta anak saudaranya (lelaki) keluar dari kenderaan mereka. "Selepas mangsa keluar, suspek telah mengacukan senjata disyaki pistol kepada mangsa dan melepaskan satu das tembakan ke atas jalan raya. Suspek kemudiannya menaiki kereta mangsa jenis Myvi putih sebelum melarikan kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, hasil siasatan awal di tempat kejadian menemui satu kelongsong peluru dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. "Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya. -- BERNAMA

Comments