KES KHAIRUDDIN : JANGAN HANYA SIASAT TAPI TIDAK DIDAKWA

 


Kuala Lumpur, 3 Sept :  Siasatan terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kes ingkar kuarantin wajib pada bulan lalu hampir selesai, kata Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid.

Mior berkata, kertas siasatan kes itu akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

"(Masih) dalam siasatan, kita akan rujuk IP (kertas siasatan) ke AGC dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi oleh sebuah portal online semalam.

Khairuddin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus disiasat kerana melanggar kuarantin wajib selepas kembali dari Turki 7 Julai lalu.

Seorang bekas pesakit bekas pekerja swasta, Hamid Alang menggesa pihak berkuasa supaya jangan hanya menyiasat tetapi tidak mendakwa menteri tersebut.

"Beliau secara terang-terang melanggar perintah kuarantin dan telah pun dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, itupun dah jelas bukti beliau melakukan kesalahan"

"Jangan ada 'double standard' dalam menguatkuasakan undang-undang, Perdana Menteri dan kerajaan mesti mengotakan janji di mana sudah banyak kali dikatakan sesiapa sahaja tidak terlepas dari hukuman jika melanggar undang-undang" tegas beliau ketika diminta mengulas isu ini.

Pada 28 Ogos, dia dipanggil bagi memberi keterangan di Bukit Aman berhubung kesalahan itu selepas 27 laporan polis dibuat terhadapnya.

Perkara itu mula menjadi perhatian setelah pendedahan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok pada 18 Ogos di Dewan Rakyat.

Keesokannya Kementerian Kesihatan menyatakan pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Bagaimanapun kementerian itu pada 22 Ogos memaklumkan Khairuddin telah dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos.

Kementerian itu berkata dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Pada hari sama Khairuddin juga membuat permohonan maaf dan berikrar untuk menyumbang gajinya sejak Mac hingga Ogos kepada tabung bantuan Covid-19.

Comments