Kebakaran rumah: Nenek dan cucu maut, empat cedera


BATU PAHAT, 6 Sept -- Seorang nenek berusia 50 tahun dan cucu lelakinya yang berumur empat tahun meninggal dunia manakala empat lagi cedera setelah rumah mereka di Taman Puteri Indah, Tongkang Pechah, di sini, terbakar, awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulle Idris berkata Siti Zaleha Jaafar dan Ahmad Shuhil Ahmad Osman ditemukan  dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika operasi menyelamat dilakukan, sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika rawatan di hospital.

"Terdapat enam individu berada di rumah dua tingkat berkenaan ketika kebakaran berlaku kira-kira 1.02 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saifulle berkata, empat yang cedera iaitu Siti Khairiah Mohd Don, 28, Ahmad Syaihan Ahmad Osman, 3, Ahmad Syahid Ahmad Osman, empat bulan dan seorang wanita dikenali sebagai Wati, 30, dipercayai pembantu rumah kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Katanya kesemua mangsa diselamatkan oleh pihak bomba melalui tingkap di tingkat dua menggunakan tangga.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi menyelamat itu tamat pada pukul 3.18 pagi," katanya.

Menurut Saifulle, operasi menyelamat membabitkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram dan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat.

Sementara itu, jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad pada kira-kira 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, di sini.

Ahli keluarga mangsa bagaimanapun enggan ditemu bual oleh pihak media.

-- BERNAMA

Comments