JPJ Melaka kutip RM1.49 juta hasil lelong kenderaan


MELAKA, 3 Sept  -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memperoleh sejumlah RM1.49 juta menerusi jualan Program Lelongan Awam Kenderaan Sita melibatkan 166 kenderaan pelbagai jenis yang diadakan hari ini.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata sebanyak 325 buku lelong yang berharga RM100 senaskhah turut terjual sebelum ini dengan seramai 208 pembida hadir ke program lelongan berkenaan bermula dari 9 pagi hingga 3 petang tadi.

“Keseluruhan lelongan itu ialah 100 kereta, 47 motosikal, 16 van dan empat lori, dengan 116 daripada kenderaan itu boleh dilesenkan semula.

"Harga bidaan bagi kereta tertinggi adalah RM46,100 iaitu jenis Toyota Estima dengan harga buka RM12,045 manakala harga bidaan tertinggi bagi motosikal adalah RM7,200 untuk jenis Yamaha Y15ZR dengan harga buka RM1,950," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus turut menyeru orang ramai memanfaatkan peluang membayar saman berikutan pengumuman penyambungan pengurangan saman kompaun JPJ sebanyak 70 peratus sehingga 30 Sept ini.

-- BERNAMA


Comments