AZMIN SOMBONG CUBA TUNJUK PANDAI?

Enam lelaki didenda RM1,300 kerana merusuh


KUALA LUMPUR, 4 Sept  -- Enam lelaki yang video rakaman pergaduhan mereka tular di media sosial baru-baru ini, didenda RM1,300 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh di Jalan Keramat Wangsa.

Mereka ialah Muhamad Fazlli Ab Rahman, 29; Mohd Saufyq Mohd Nasir, 42; Rosman Basron, 45; Izanuddin Abas, 38; Muhammad Azzad Abdullah, 32 dan Hendriyanto Baslan, 32.

Majistret Aina Azahra Arifin turut memerintahkan kesemua tertuduh tapak menjalani hukuman penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.Sementara tiga lagi tertuduh iaitu pemandu e-hailing Ahmad Hasif Ahmad Amirsa, 29; peniaga, Fitrishah Akhbar Mohd Kasim, 43; dan Mohd Maliki Makhtar, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dengan niat bersama telah melakukan kesalahan merusuh di Jalan 25/56 Keramat Wangsa, di sini pada jam 3.35 petang, 1 Mac lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif tidak menawarkan jaminan kepada Ahmad Hasif, Fitrishah Akhbar dan Mohd Maliki, memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Manakala peguam P. Muniswer yang mewakili enam lelaki yang mengaku salah, memohon mahkamah mengenakan hukuman denda  paling minimum dan pengecualian pemenjaraan, atas alasan ia kesalahan pertama semua anak guamnya.

Peguam Nur’ain Shahiera Khalid yang mewakili Ahmad Hasif, Fitrishah Akhbar dan Mohd Maliki, memohon jaminan minimum kerana mereka menanggung keluarga dengan pendapatan masing-masing RM1,200 sebulan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,500 terhadap ketiga-tiga tertuduh dan 6 Okt untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, insiden pergaduhan yang tular di media sosial itu berpunca daripada perselisihan faham daripada seorang kumpulan pekerja kontraktor dengan seorang peniaga kedai makanan yang mahu berunding mengenai pemasangan paip gentian di kawasan terbabit.

-- BERNAMA


Comments