COVID-19 : KES BARU SABAH 31, KEDAH 14

 


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 47 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan Sabah masih lagi merupakan penyumbang utama pertambahan kes.

Daripada jumlah itu, hanya dua merupakan kes import dan selebihnya (45) merupakan kes jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media petang ini memaklumkan bahawa kes penularan tempatan melibatkan 31 kes di Sabah dan 14 kes di Kedah.

Daripada 45 kes penularan di dalam negara, 28 kes adalah warganegara Malaysia manakala 17 kes adalah bukan warganegara.

Daripada 31 kes baru yang dicatat di Sabah, 22 kes dikesan daripada Kluster Benteng Lahad Datu melibatkan lapan warganegara dan 14 bukan warganegara.

Sementara sembilan kes selebihnya terdiri daripada empat kes saringan warga emas di klinik kesihatan, dua kes saringan di pusat kuarantin, satu kes saringan petugas kesihatan, satu kes saringan Orang Kena Tahan di Kudat, dan satu kes Infuenza-like illness (ILI).

Kes di Kedah pulah terdiri daripada 13 kes daripada Kluster Tawar dan satu kes daripada Kluster Sungai.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu kekal 128.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang pernah direkodkan setakat ini ialah sebanyak 9,915.

Mengambil kira 9,196 yang telah pulih termasuk tujuh yang tebaru, jumlah kes aktif ketika ini ialah 591 kes.

Sumber gambar dan berita dari Malaysiakini


Comments