32.28 peratus kawasan terjejas telah dapat bekalan air


Bekalan air telah pulih di 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor yang terjejas akibat pencemaran sungai, setakat pukul 6.30 pagi ini.

Dalam kenyataan hari ini, Air Selangor berkata sebanyak 417 kawasan yang terjejas kini telah mendapat semula bekalan air.

Bekalan air di Hulu Selangor dan Kuala Selangor hampir pulih sepenuhnya, dengan 94.12 peratus dan 91.7 peratus kawasan di dua wilayah itu kini mempunyai bekalan air.

Namun tiada kawasan di Kuala Lumpur dan Kuala Langat yang telah pulih.

Proses pemulihan di Petaling setakat ini adalah 37.17 peratus, manakala di Klang/Shah Alam 7.91 peratus dan Gombak 11.31 peratus.

Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas," kata Air Selangor.

Air Selangor menggesa pengguna yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihannya.

Pada 3 September lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi selepas pencemaran sumber air mentah dikesan di muka sauk loji.

Ia setelah bahan tercemar dibuang di Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor, di mana LRA Rantau Panjang terletak.

Pihak berkuasa telah menutup sebuah kilang di Rawang yang disyaki menjadi punca gangguan bekalan air terbaru itu.

Kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan pengosongan tapak kilang penyelenggaraan jentera berat itu.

Syarikat yang mengendalikannya dikatakan merupakan pesalah berulang, apabila telah didenda RM60,000 untuk kesalahan sama beberapa bulan lalu.

Air Selangor menjangka bekalan air akan pulih sepenuhnya paling lewat 9 September ini.

Pemulihan akan dibuat dalam tiga fasa, iaitu fasa pertama (5-7 Septemeber) fasa kedua (7-8 September) dan fasa ketiga (8-9 September).


Comments